INFINITY, reka bentuk oleh Jaihar Jailani Ismail dan Noor Syahidah Abdullah memenangi hadiah utama bernilai RM10,000.00 dalam TRANSEAT – Pertandingan Reka Bentuk Bangku Stesen Bawah Tanah MRT Laluan Putrajaya.
Pemenang-pemenang TRANSEAT telah diumumkan dalam upacara ringkas yang diadakan di ibu pejabat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 3 Mei 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya MRT Corp, Dato’ Amiruddin Ma’aris, Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) Encik Sulaiman Arshad dan Naib Presiden Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) Encik Zafri Zakaria Merican
TRANSEAT dianjurkan oleh MRT Corp untuk mencari reka bentuk terbaik yang boleh diterima pakai bagi lapan stesen bawah tanah Laluan Putrajaya (PY).
Pertandingan ini, yang berlangsung dari 1 Jun 2020 hingga 31 Julai 2020, telah dilaksanakan dengan kerjasama MRM dan disokong oleh PEREKA.
Sejumlah 352 peserta, di mana ramai melibatkan diri dalam kumpulan, menyerahkan sejumlah 569 reka bentuk. Peserta terdiri di kalangan profesional, pelajar dan juga orang awam.
INFINITY, yang juga merupakan nama yang diberi oleh pasangan pereka industri dan akademik bebas dari Johor Bahru kepada pasukan mereka, adalah bertujuan untuk melengkapkan reka bentuk dan binaan seni bina stesen-stesen Laluan PY.
Naib juara pertama ialah Encik Muhammad Nazli Karamazaman, dengan reka bentuk yang menang RM 7,000.00. Nazli yang merupakan pereka arkitek dengan NVZL Studio, menggunakan motif kraf sebagai elemen penting dalam reka bentuk bangkunya.
Encik Ng Wai How dan Cik Yap Qiang Mei, yang membentuk pasukan WHDY, memenangi RM5,000.00 sebagai naib juara kedua. Reka bentuk bangku X-Seat mereka, adalah berdasarkan tema “Vibrancy”.
Hadiah khas, penyerahan terbaik oleh pelajar, dimenangi oleh Kamarul Azizi Kamarul Azhan, yang menyerahkan Koreusi. Pelajar Universiti Teknologi Malaysia itu diberi ganjaran sebanyak RM5,000.00 atas usaha itu, yang berdasarkan tema “Moulding Forms”.
Reka bentuk yang dimenangi ini boleh digunakan oleh MRT Corp untuk bangku-bangku di lapan daripada sembilan stesen bawah tanah Laluan PY. (Stesen Tun Razak Exchange sudah beroperasi di bawah MRT Laluan Kajang dan akan menjadi sebahagian daripada Laluan PY kelak). Jika digunapakai, reka bentuk akan dilancarkan pada Januari 2023 ketika fasa kedua laluan mula beroperasi.
Penilaian Peringkat Pertama pertandingan telah dijalankan pada 29 September 2020 dengan panel hakim merangkumi MRT Corp, MRM, PEREKA dan MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, selaku kontraktor siap pakai MRT Laluan Putrajaya.
Tugas mereka adalah untuk memilih 10 penyerahan teratas dengan skor tertinggi yang kemudiannya disenarai pendek untuk penilaian Tahap Dua. Mereka melihat kepada konsep, inovasi reka bentuk dan kreativiti serta fungsi. Selain itu, kualiti, bahan dan pembinaan, bersama dengan kos juga telah diteliti, untuk memilih reka bentuk terbaik.
Peringkat Pertama juga merangkumi pengundian dalam talian oleh warga kerja MRT Corp untuk memilih 10 reka bentuk teratas mereka. Mata terkumpul dari pemarkahan oleh hakim dan warga kerja menentukan 10 finalis.
Pusingan akhir penilaian telah diadakan pada 15 Disember 2020 di Dewan Inovatif MRM di Bukit Jalil, di mana para finalis telah memberi taklimat mengenai reka bentuk mereka kepada panel hakim yang terdiri daripada barisan kepimpinan MRT Corp, MRM dan PEREKA.















