BERIKUTAN Forum Transformasi Global yang diadakan di Kuala Lumpur dari 22 Mac 2017 hingga 23 Mac 2017, seramai 25 delegasi dari Albania, Uganda, Russia dan Portugal telah membuat lawatan ke Projek MRT pada 21 Mac 2017.
Delegasi yang hadir adalah dari pelbagai jawatan kerajaan dan berminat untuk melihat sendiri pencapaian kukuh dari Bidang Utama Ekonomi Kebangsaan bagi Greater Kuala Lumpur.
Lawatan ini yang telah dianjurkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), membawa para delegasi melawat kawasan Masjid Jamek yang merupakan sebahagian daripada transformasi ‘River of Life’ dan juga Galeri Bandar Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pengurus Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Leong Shen-Li menyambut mesra para delegasi di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara. Di sini, mereka kemudiannya menaiki tren untuk perjalanan dua-hala ke Stesen MRT Surian.
Semasa lawatan tersebut, para delegasi sempat bertanyakan beberapa soalan berkenaan projek termasuklah sambungan di antara KLIA Ekspres dan MRT. Sambungan antara kedua-dua perkhidmatan ini adalah di Stesen MRT Muzium Negara di mana penumpang boleh menaiki tren ke lapangan terbang melalui KL Sentral.
Para delegasi gembira dengan lawatan ke stesen MRT tersebut dan peluang menaiki MRT yang diberikan kepada mereka.









