SATU kumpulan yang terdiri daripada enam pegawai kerajaan Ghana yang diketuai oleh Menteri Pemantauan dan Penilaian Hon. Dr. Anthony Akoto Osei telah menaiki tren MRT pada 9 Mei 2017.
Mereka telah disambut mesra oleh Timbalan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Encik Leong Shen-Li di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.
Para pegawai telah diberi token sebelum Leong menunjukkan bagaimana untuk menggunakan token mereka di pintu masuk tiket automatik. Sebelum menuju ke eskalator, Leong memperkenalkan keseluruhan laluan Laluan Sungai Buloh-Kajang yang terdiri daripada 31 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah.
Sementara menunggu ketibaan tren, Leong telah menyampaikan taklimat ringkas projek kepada para pegawai di platform stesen. Selepas itu, mereka menaiki tren ke Stesen MRT Bandar Utama. Peranan dan perbezaan di antara MRT Corp dan Rapid Rail turut dijelaskan semasa dalam perjalanan.
Sebaik sahaja tiba di Stesen Bandar Utama, Leong membawa mereka melihat di sekitar stesen. Beliau menunjukkan jejantas yang sedang dibina untuk menghubungkan Kompleks Membeli-Belah 1 Utama dan dijangka siap pada bulan Julai. Dengan jejantas ini, penumpang boleh ke pusat membeli-belah dengan mudah.
Selepas berjalan melihat sekitar stesen, mereka kembali ke Stesen MRT Pusat Bandar Damansara. Semasa di dalam tren, Leong mengucapkan terima kasih kepada para pegawai di atas kesudian mereka melawat Projek MRT.
Para pegawai telah dijemput melawat MRT oleh Pemandu Associates Sdn Bhd.









