SUASANA yang meriah dan penuh dengan kegembiraan dialami oleh pemenang-pemenang pertandingan “Get on Board with #MRTSSPLINE ‘Take a Selfie’ semasa mereka berkumpul untuk majlis penyampaian hadiah pada hari Sabtu, 5 September 2015 di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur.
Selain dapat menikmati bufet mewah, 10 pemenang ini juga telah mengambil kesempatan mengenali satu sama lain dan melihat gambar-gambar yang telah memenangi pertandingan tersebut.
Pemenang pertandingan dipilih daripada 538 penyertaan. Untuk memenangi pertandingan, peserta perlu mengambil gambar ‘selfie’ di gerai-gerai Jerayawara Pemeriksaan Awam MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) dan menampilkan gambar mereka di Facebook atau Instagram.
Pertandingan ini yang berlangsung dari 6 Ogos hingga 14 Ogos 2015 dijalankan sempena Pemeriksaan Awam Laluan SSP untuk menggalakkan orang ramai melawat gerai-gerai dan memberi maklum balas berkenaan cadangan laluan yang sedang dipamerkan.
Majlis penyampaian hadiah bermula dengan kata-kata aluan oleh Pengarah Operasi dan Pengurusan Aset MRT Corp, Encik Mahmood Abdul Razak.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian justeru dapat mewujudkan kesedaran terhadap Jerayawara Pemeriksaan Awam Laluan SSP.
“Media sosial adalah sebuah alat berkuasa masa kini dan disebabkan itulah, kami menggunakan dengan jayanya untuk pertandingan ini. Kami tahu pertandingan ini berkesan kerana bilangan maklumbalas naik mendadak semasa pertandingan ini dijalankan,” kata Mahmood.
Pengacara majlis, Encik Hardy Arbi kemudian mengambil-alih dan bermula dengan mengajak setiap pemenang ke atas pentas untuk menerima Mini iPad masing-masing. Walaubagaimanapun, sebelum menerima hadiah, para pemenang terpaksa mengharungi temubual bersama Hardy, yang berjaya menghiburkan penonton.
Selepas setiap pemenang menerima hadiah, mereka berkumpul di atas pentas untuk mengambil ‘selfie’ secara berkumpulan.
Dalam komennya, Encik Muhamad Afiq Aziz berkata beliau berbesar hati dapat memenangi sebuah Mini iPad.
“Mini iPad ini sememangnya apa yang saya perlukan untuk tiga tahun di Scotland,” beliau berkata. Muhamad Afiq telah terbang dari Kota Bharu untuk menerima hadiahnya. Beliau akan berlepas ke Scotland untuk melanjutkan pengajian falsafah doktornya dalam bidang Sains Perubatan, minggu hadapan.
Gambar kemenangannya telah melibatkan beliau dan rakan-rakan bergaya pelbagai aksi di depan salah satu papan kenyataan di gerai pemeriksaan awam. Kesemua rakan-rakannya itu telah menyertai beliau di majlis ini.
Pemenang Encik Azuan Effendy Zairakithnaini dan Puan Lily Shazreena Abdul Rahim pula adalah pasangan suami isteri yang menyertai pertandingan ini berasingan. Mereka sanggup pergi ke pusat membeli-belah Alamanda dari rumah mereka di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur untuk mengambil ‘selfie’ dimana mereka membawa alatan sendiri seperti slogan keratan kertas buatan sendiri, ubat gigi, topi mandi malah sudu air juga.
“Saya memberitahu isteri saya bahawa kalau kita menyertai pertandingan ini, kita kena buat yang terbaik. Itu cara saya. Jika saya melakukan sesuatu, saya akan melakukan yang terbaik,” kata Azuan.
Kapsyen lawaknya, “Late riser? No worries.. U won’t be late to work with MRT,” menggambarkan beliau berbaju putih bersama kain pelekat, memakai topi mandi, tuala mandi, berus gigi dan ubat gigi.
Lily juga mengambil inisiatif membuat ‘selfie’ yang berlainan, tetapi secara konvensional dimana dia menggunakan keratan kertas bersama “hashtag” kreatif seperti #travellingmadeeasywithMRT dan #kipidabdongibabMRT.
Kreativiti juga merupakan faktor kemenangan Encik Syahizan Amir Abdul Wahab yang telah menggunakan persamaan MRT dengan Mr. T, bintang 80an dari rancangan TV The A-Team. Beliau telah mengambil ‘selfie’ sambal memegang telefon bimbit yang mempunyai gambar Mr T, bersama perkataan “MR.T” kesemuanya dalam perkataan besar.
“Ini akan menjadi hadiah hari jadi isteri saya”, Syahizan berkata selepas menerima Mini iPadnya.























