SEBELAS peserta Kursus Pengurusan dan Perancangan Ekonomi (Economic Management And Planning ataupun EPM) yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah melawat Pusat Informasi MRT di Damansara Utama pada 9 September 2015.
Delegasi daripada Pakistan, Maldives, Samoa, Sudan, Uzbekistan dan Malaysia diketuai oleh Peruding Kanan Latihan INTAN untuk EPM iaitu Encik Ridzuan Kushairi Mohd Ramli.
Kursus EPM yang berlangsung selama tiga minggu ini adalah sebahagian daripada Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme ataupun MTCP) yang merupakan salah sebuah aktiviti Persatuan Komanwel untuk Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM).
Ketika lawatan berlangsung, Timbalan Pengurus Besar Komunikasi dan Perhubungan Awam Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Encik Leong Shen-Li memberi taklimat kepada pelawat tentang Projek MRT Lembah Klang.
Antara topik dalam taklimat beliau adalah kepentingan Projek MRT kepada kawasan Lembah Klang dan juga Malaysia secara amnya, dan juga status perkembangan projek ini.
Selepas taklimat Encik Leong, Puan Juhaida Ismail dari DanaInfra Nasional Berhad pula memberi taklimat tentang struktur pembiyaan projek tersebut.
Beliau menekankan bahawa projek ini dibiayai menerusi bon yang diterbitkan oleh DanaInfra. Selain itu, beliau menjawab pelbagai soalan daripada peserta-peserta mengenai ciri-ciri model pembiyaan dan butir-butir bon.
Lawatan diakhiri dengan lawatan ke pelbagai pameran di pusat maklumat dan sesi minum pagi.











