Satu sesi perjumpaan bersama penduduk Kampung Wadihana telah dianjurkan oleh Pihak Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) pada 10 Februari 2022 di Dewanraya Wadihana, Johor Bahru.
Sesi perjumpaan itu diadakan bersempena permulaan kerja-kerja pembinaan Depoh Penyelenggaraan di Kampung Wadihana. Sesi tersebut juga merupakan satu saluran kepada penduduk menyuarakan pandangan dan memberi maklum balas berkaitan projek itu.
Mewakili Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd ialah Encik Asnan Ayob, Ketua Pembinaan Awam, Encik Redzelan Mohamad, Ketua Perhubungan Pihak Berkuasa dan Pihak Berkepentingan dan Encik Aman Shah, Pengurus Projek Pembinaan Awam. Turut hadir ialah Encik Kamarul Baharin Yusof dan Encik Thomas Matthew, wakil daripada Adil Permata Sdn Bhd (APSB), kontraktor yang telah dilantik bagi projek ini.
Lebih kurang 40 penduduk menghadiri sesi tersebut dan telah diberi taklimat mengenai gambaran keseluruhan Projek RTS Link dan kerja-kerja pembinaan yang akan berlangsung di Kampung Wadihana. Sebelum berakhir, sesi soal jawab dibuka kepada penduduk berkaitan projek itu.
Antara topik yang dibincangkan adalah mengenai penutupan jalan, kesan alam sekitar, pengurusan lalu lintas dan isu-isu lain yang melibatkan mereka yang tinggal berhampiran dengan jajaran RTS Link. Projek ini akan terus memastikan bahawa pandangan semua pihak berkepentingan akan diurus dengan baik dan ditangani secara segera.









