Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Puan Norlin Jaafar telah berkunjung ke Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya (PY) dalam sebuah lawatan kerja pada 23 Ogos 2021.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada Syarat Persetujuan JAS untuk Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) Laluan PY, yang memerlukan pemantauan bunyi dan getaran operasi tren diperhatikan setelah selesai projek, dalam memastikan pematuhan berdasarkan had yang ditetapkan.
Puan Norlin mengetuai delegasi JAS yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Penilaian Puan Rohimah Ayub, Pengarah JAS Selangor Puan Noraziah Jaafar dan Pengarah JAS Kuala Lumpur Encik Azlan Ahmad.
Lawatan ini bermula di Stesen MRT Sri Damansara Sentral, di mana Pengarah Projek Laluan Putrajaya Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Dato’ Amiruddin Ma’aris telah memberikan ucapan alu-aluan dan berkongsi tentang kemajuan projek. Turut hadir bersama adalah Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd Encik Ramli Shafie, Pengarah Projek MRT 3 MRT Corp Tuan Haji Yusof bin Kasiron dan Pemangku Pengarah Piawaian dan Pematuhan MRT Corp Encik Azhar Sofah.
Dalam lawatan tersebut, Puan Norlin telah diberi penerangan tentang bagaimana rungutan pihak awam yang berkaitan dengan projek MRT ditangani, dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh MRT Corp.
Diketuai oleh Pengarah Sistem E&M Laluan Putrajaya MRT Corp Encik Abdul Hamid Abdillah rombongan tersebut dibawa menaiki tren ke Stesen MRT Kampung Batu bagi melihat perkembangan Fasa Satu Laluan Putrajaya.
Apabila turun dari tren, mereka memeriksa kemudahan stesen dan melihat kawasan sekitarnya. Di ruang legar stesen, Puan Norlin membincangkan cara-cara untuk memperindah dan menambah nilai sungai di kawasan sekitar stesen.
Lawatan ini tamat setelah mereka menaiki tren kembali ke Stesen MRT Sri Damansara Sentral. Sebuah cenderahati telah diserahkan oleh Tuan Haji Yusof kepada Puan Norlin sebagai tanda penghargaan di atas masa dan pandangan yang dikongsi.













