TIMBALAN Menteri Kewangan I Dato’ Wira Othman Aziz mengetuai delegasi daripada Kementerian Kewangan pada lawatan ke Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) pada pagi ini.
Othman tiba di Stesen Pusat Bandar Damansara dan kemudian menaiki kereta api ke Stesen MRT Kwasa Damansara. Beliau diiringi oleh Ketua Pegawai Kewangan MRT Corp Dato’ Mohd Hairul Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd Laluan SBK Tuan Haji Isom Azis.
Di Stesen Kwasa Damansara, delegasi itu menaiki bas perantara untuk ke depoh MRT di Sungai Buloh.
Othman pada mulanya diberikan taklimat semasa sesi tertutup mengenai operasi di laluan SBK sebelum dibawa untuk melawat Pusat Kawalan Operasi dan juga Pejabat Penyelenggaraan Stok Keretapi.
Selepas berada di depoh tersebut, rombongan delegasi sekali lagi menaiki bas perantara dan ke Stesen Sungai Buloh di mana mereka menaiki kereta api MRT untuk kembali semula ke Pusat Bandar Damansara.







