TIMBALAN Menteri Kewangan I Datuk Ahmad Maslan melawat Stesen MRT Taman Midah di Taman Midah, Cheras, pada hari Jumaat, 13 Februari 2015.
Lawatan Ahmad merupakan lawatan kerja yang menepati arahan Kabinet yang dikeluarkan pada tahun 2009 di mana Timbalan Menteri harus melawat sekurang-kurangnya satu projek kerajaan setiap bulan.
Dalam lawatan yang juga disertai media, Ahmad telah diberi penerangan mengenai tahap kemajuan projek MRT dan juga tahap kemajuan Stesen MRT Taman Midah.
Pembinaan stesen tersebut yang diterajui oleh IJM Construction Sdn Bhd adalah di tahap kemajuan yang baik, di mana stesen Taman Midah merupakan stesen jajaran bertingkat yang pertama yang akan dipasang dengan bumbung.
Ahmad juga dibawa ke atas jejambat MRT di mana beliau telah menyaksikan pemasangan landasan bagi laluan utama MRT Sungai Buloh-Kajang. Jurugambar media yang menyertai Timbalan Menteri I tersebut juga mengambil peluang untuk mengambil gambar beliau berbelakangkan Stesen Taman Midah serta pemandangan latar langit Kuala Lumpur yang mengagumkan.
Ahmad memaklumkan media bahawa beliau amat berpuas hati dengan tahap kemajuan yang dicapai oleh Projek MRT. “Kami amat berterima kasih kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid atas usaha cemerlangnya semasa beliau menerajui MRT Crop. Sungguhpun insiden hitam telah berlaku pada Ogos 2014, beliau amat komited dalam memastikan tahap keselamatan di tapak projek.
“Dan saya pasti Dato’ Sri Shahril Mokhtar, yang telah mengambil alih, akan meningkatkan lagi tahap kecermerlangan tersebut” tambah Ahmad. Apabila ditanyai oleh pihak media samada Projek MRT akan terjejas disebabkan peningkatan nilai matawang Amerika Syarikat, Ahmad menyatakan bahawa Projek MRT mempunyai kandungan tempatan yang tinggi dan tidak menerima impak yang serius.
Tambahnya lagi, kontrak-kontrak Projek MRT dimeterai dalam matawang ringgit maka ia tidak terjejas apabila berlakunya turun naik nilai matawang.











