Jabatan Piawaian dan Pematuhan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) baru-baru ini telah menganjurkan Webinar Kuarters Pekerja Setempat (CLQ) dan Keselamatan 2021 pada 3 Ogos 2021 dengan tema ‘Pelaksanaan Langkah Pencegahan: Penyakit Berjangkit dan Ancaman Luar’.
Dianjurkan buat keempat kalinya sejak tahun 2017, seminar ini dianjurkan oleh MRT Corp dengan tujuan untuk menyampaikan undang-undang semasa, dasar kod amalan dan rancangan kehadapan berkenaan tempat tinggal pekerja semasa Covid-19 serta meningkatkan kesedaran mengenai ancaman luar bagi projek-projek MRT Corp.
Hadir di webinar tersebut adalah kakitangan daripada MRT Laluan Putrajaya, RTS Link, MRT 3 Circle Line, Kontraktor Pakej Kerja, Kontraktor Siap Pakai dan perunding daripada pelbagai peringkat.
Seminar ini telah dirasmikan oleh Pengurus Kanan CLQ, Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Encik Muhammad Nor Hadi Kasah. Disebabkan oleh situasi wabak Covid-19 yang terkini, seminar ini telah diadakan secara dalam talian bagi para peserta. Seminar ini perlu diteruskan agar para peserta dapat menerima maklumat terkini mengenai projek-projek MRT Corp.
Seminar telah dimulakan oleh Encik Che Rokman Che Awang daripada Jabatan Tenaga Kerja, yang memberikan ceramah mengenai ‘Penguatkuasaan Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990’ . Beliau membincangkan mengenai inisiatif untuk memajukan tempat tinggal pekerja asing, yang merangkumi taraf tempat tinggal minimum, kemudahan asas untuk pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan semasa wabak COVID-19.
Beliau memuji MRT Corp kerana telah memulakan CLQ bagi penempatan pekerja, menyediakan tempat tinggal yang selesa, yang kini sering digunakan sebagai penanda aras bagi projek-projek lain.
Dr. Sudeash Rajakrishnan daripada Unit Kawalan Penyakit Pejabat Kesihatan Daerah Petaling kemudian mengambil alih dengan sebuah pembentangan bertajuk ‘Pengurusan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Berjangkit di Kalangan Pekerja Asing’. Beliau menjelaskan mengenai jenis-jenis penyakit berjangkit di Malaysia, konsep pengurusan, dan kawalannya. Beliau juga menyentuh berkenaan garis panduan dan kaedah untuk mencegah COVID-19 di kalangan pekerja.
Setelah berehat seketika, seminar diteruskan dengan topik ‘Ancaman Terorisma yang Muncul dan Semasa’ oleh DCP Normah Ishak daripada Polis Diraja Malaysia. Beliau menjelaskan ciri-ciri keganasan global dan berbagai jenis ancaman yang boleh terjadi. DCP Normah juga menekankan mengenai peranan pasukan polis, yang bertanggungjawab terhadap kitaran penuh melawan keganasan di Malaysia.
Program diakhiri dengan sebuah kuiz pendek di mana soalan adalah berdasarkan pembentangan yang diberikan oleh para penceramah, dan lima orang pemenang telah dipilih.
Seminar tersebut dianjurkan dengan jayanya, dengan pelbagai maklumat dan pengetahuan dapat diterapkan dalam pengurusan keselamatan dan CLQ, untuk penambahbaikan projek-projek MRT Corp.









