SEBUAH seminar mengenai Kuarters Pekerja (CLQ) dan Keselamatan telah dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 26 Julai 2018.
Berlangsung di Pusat Latihan VMRT, ini adalah kali kedua seminar ini dianjurkan selepas yang pertama dibuat pada tahun 2017.
Seminar ini bertujuan untuk menyampaikan undang-undang semasa, polisi tentang kod amalan dan memahami langkah-langkah seterusnya untuk penginapan pekerja.
Para hadirin adalah daripada MRT Corp, MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd sebagai Rakan Pelaksana Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), Kontraktor Pakej Pekerja (WPC) untuk Projek dan beberapa agensi kerajaan.
Mereka juga telah dimaklumkan tentang peraturan dan undang-undang pemilihan pengawal keselamatan.
Bagi memulakan seminar, Pengurus CLQ MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd Encik Visvanathan Virappan telah memberi gambaran keseluruhan tentang keadaan hidup semasa bagi pekerja-pekerja pembinaan Projek MRT.
Sejak bermulanya inisiatif pembinaan CLQ untuk Projek MRT pada tahun 2012, ia telah dapat mengurangkan kadar pusing ganti kerja serta cuti sakit tetapi yang paling penting adalah peningkatan prestasi pekerja pembinaan.
Di samping itu, beliau telah memberi sebuah ceramah bertajuk ‘A Human Approach: The Innovation Is In The Concept of Holistic Approach To Managing Foreign Workers.’ Beliau menerangkan kesukaran realiti yang dihadapi di Malaysia seperti mereka yang tinggal di rumah kongsi dan kekangan air untuk para pekerja.
Penceramah seterusnya adalah Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Encik Gary Albert Jimbih. Beliau telah bercakap tentang ‘Akta Agensi Persendirian 1971 – Peraturan dan Undang-undang’ dan berbincang berkenaan pengawal keselamatan di Malaysia.
Gary memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 799 buah syarikat yang telah mengambil pengawal keselamatan bekerja di negara ini dimana 77 peratus adalah rakyat tempatan, manakala 23 peratus merupakan orang asing, kebanyakkannya dari Nepal. Nepal dilihat sebagai sebuah negara pembekal utama pengawal keselamatan berdasarkan latar belakang mereka dari keturunan tentera serta juga mempunyai disiplin yang tinggi.
Penjelasan mengenai latihan yang perlu dilalui oleh pengawal keselamatan di Malaysia juga turut dibincangkan. Mereka perlu menjalani modul latihan selama 6 hari seperti pertolongan cemas, kelas komunikasi dan membiasakan diri dengan senjata. Mereka akan dapat bekerja sebagai pengawal keselamtan hanya selepas lulus modul ini.
Puan Noraidah Basri, seorang arkitek dari Majlis Bandaraya Shah Alam kemudiannya pula telah menyampaikan sebuah ceramah bertajuk ‘ Temporary Building Construction, Best Practice At Site.’
Menurutnya, sebelum kerja dimulakan, permit yang sewajarnya perlu diperolehi dari pihak berkuasa masing-masing. Beliau juga menjelaskan bahawa MRT Corp merupakan organisasi terbaik yang menjalankan amalan terbaik di tapak.
Projek ini memastikan semua permit telah diperolehi sebelum kerja bermula dan juga pihak berkepentingan di sekitar projek itu sedar akan kerja-kerja pembinaan yang sedang dilakukan. Ini akan membantu mengurangkan bilangan aduan mengenai kerja-kerja pembinaan.
Pengurus Bank Negara Malaysia bagi Jabatan Pengawasan Perniagaan Perkhidmatan Wang Puan Noor Nazatul Hashimi adalah penceramah seterusnya dan beliau bercakap tentang perkhidmatan pengiriman wang di Malaysia.
Beliau menegaskan tentang kesedaran yang pekerja asing harus ada berkenaan perkhidmatan pengiriman wang haram yang tidak dibenarkan. Majikan pekerja-pekerja asing ini perlu membantu pekerja mereka untuk mengenali perkhidmatan haram.
Sebuah kes yang pernah terjadi sebelum ini dipaparkan sebagai contoh perkhidmatan pengiriman wang haram; seramai 90 warga Indonesia telah ditipu ketika mengirim wang berjumlah 1.9 bilion Rupiah Indonesia.
Seminar ini kemudiannya dirasmikan oleh Ketua CLQ, Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar MRT Corp Encik Azhar Sofah. Beliau menyatakan bahawa Projek MRT sentiasa menambah baik CLQ untuk MRT Laluan SSP seperti apa yang telah dilakukan untuk MRT laluan pertama, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).
Azhar juga telah menyampaikan hadiah bagi Hari Sukan CLQ dimana WCT Holdings Berhad, WPC Pakej V204 telah muncul sebagai juara keseluruhan. Gadang Engineering (M) Sdn Bhd, WPC bagi Pakej V206 telah diiktiraf sebagai CLQ terbaik yang dikendalikan buat masa ini. Acara dan anugerah seperti ini dapat membantu CLQ untuk mencapai kejayaan yang lebih besar bukan hanya untuk kerja-kerja Projek tetapi juga dalam aspek sosial.
Selepas makan tengahari, sebuah topik yang menarik bertajuk ‘Foreign Workers Threat in Malaysia’ telah disampaikan oleh Superintendan Nagalingam Murugayah dari Polis Di Raja Malaysia.
Kemasukan pekerja asing adalah fenomena dunia dan telah berlaku sejak 1980-an di Malaysia. Lokasi strategik Malaysia memudahkan warga asing datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.
Disebabkan ini, pihak berkuasa perlu lebih berwaspada untuk sebarang masalah yang boleh timbul. Ancaman keganasan di negara-negara Islam dan konflik seperti di Iraq dan Syria perlu dikenal pasti kerana mereka akant menyumbang kepada masalah yang tidak diingini semasa bekerja di Malaysia.
Penyampai terakhir seminar ini ialah Dr Nofi Yuliani dari Kementerian Kesihatan Selangor yang memberikan ceramah tentang ‘Introduction of Diseases and Injuries That Will Occur in the Workplace.’
Beliau menekankan bahawa terdapat banyak kecederaan dan kesan buruk yang boleh berlaku tanpa disedari. Salah satu daripadanya adalah ketegangan mental di tempat kerja, yang membawa kepada tekanan dan menyebabkan pekerja jatuh sakit. Ini perlu dipantau dan majikan perlu peka dalam menyediakan tempat kerja yang kondusif dan selesa untuk pekerja mereka.
Seminar ini boleh dilihat sebagai satu kejayaan kerana semua peserta dapat mengambil langkah untuk peningkatan serta memperolehi pemahaman yang lebih lanjut tentang pekerja asing di negara ini.















