LAPAN puluh delegasi dari Jabatan Juruaudit Sri Lanka telah melawat Ibu Pejabat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 13 Julai 2018. Lawatan ini adalah sebahagian daripada program 12-hari yang dianjurkan oleh Jabatan Audit Negara.
Para delegasi ini sedang menghadiri Kursus Pengauditan Prestasi 12-hari yang diadakan pada 9 Julai 2018 – 20 Julai di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan berkenaan prinsip, kaedah dan prestasi pelaksanaan pengauditan di sektor awam di samping berkongsi pengalaman tentang pengauditan khusus dalam bidang alam sekitar, air, pembinaan dan teknologi maklumat.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Dato’ Najmuddin Abdullah telah mengalu-alukan kedatangan para delegasi dan memberi maklumat keseluruhan projek.
Beliau juga menerangkan tentang faktor-faktor yang harus dipertimbangkan dalam pembinaan Projek MRT dan keputusan-keputusan yang dibuat dalam menentukan jajaran.
Dalam menyiapkan Projek dan memastikan ia adalah dalam lingkungan kos, MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) kini berada pada 30% siap dan MRT Corp bekerja keras untuk memastikan ia dalam lingkungan bajet.
Lawatan ini telah diakhiri dengan minum petang disediakan untuk para hadirin.









