KUMPULAN Affin Hwang Capital, merangkumi pelanggan dari MNRB Holdings Berhad, VCAP Asset Managers Sdn Bhd dan lain-lain telah melawat Projek MRT pada 10 Ogos 2017.
Lawatan ini telah melibatkan tinjauan mesra ke Pusat Kawalan Operasi (OCC), Sungai Buloh dan perjalanan menggunakan keretapi MRT.
Bagi memulakan acara hari itu, Ketua Kejuruteraan Keretapi Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) Encik Ramli Shafie telah mengalu-alukan kedatangan hadirin ke OCC.
Di sini, beliau telah memberi sebuah penyampaian ringkas mengenai struktur perkhidmatan MRT.
Beliau menerangkan bahawa Rapid Rail adalah pengendali keretapi manakala Rapid Bus mengendali perkhidmatan bas perantara untuk perkhidmatan MRT. Kedua-dua organisasi ini merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA).
Selain daripada mengendali perkhidmatan MRT, Rapid Rail juga adalah pengendali LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, LRT Kelana Jaya dan Monorel. Jumlah kesemua perkhidmatan ini adalah sepanjang 150.9km.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal-Ehwal Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Dato’ Najmuddin Abdullah kemudiannya memberikan maklumat ringkas tentang MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) dan maklumat lebih terperinci berkenaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP).
Beliau menyatakan bahawa kemajuan semasa projek ialah pada 10.75%. Kemajuan ini berada pada tahap yang ditetapkan untuk fasa pertama memulakan operasi pada suku kedua 2021 manakala keseluruhan operasi laluan ini ialah pada suku kedua 2022.
Untuk seksyen bawah tanah projek, Najmuddin menerangkan bahawa 10 mesin pengorek terowong (TBM) yang telah digunakan untuk Laluan SBK akan digunakan untuk Laluan SSP. Disamping itu, 2 TBM baru telah dibeli oleh MRT Corp dan akan dibawa dari China pada penghujung Ogos 2017. Kerja-kerja bawah tanah akan bermula pada suku pertama 2018.
Sebelum menaiki keretapi, Ketua Pusat Kawalan Operasi MRT Laluan SBK Rapid Rail Puan Sofiah Hussein telah membentangkan ciri-ciri OCC.
Bercakap tentang OCC dari dek paparan, beliau menjelaskan bahawa ini merupakan hab di mana semua keretapi di pantau bagi Laluan SBK. Setiap aktiviti keretapi dipantau di sini dan individu yang bekerja di OCC dapat mengawal setiap keretapi. Landasan poket di Stesen MRT Phileo Damansara dan Maluri telah dibina untuk keretapi tambahan dikerahkan, jika diperlukan pada masa yang singkat.
Lawatan ini berakhir dengan bas perantara khas menghala ke Stesen Kampung untuk para delegasi menuju ke Stesen MRT Maluri.













