SEBANYAK 27 kontrak bernilai RM13 juta telah dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera dalam sebuah majlis undian yang dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 11 Mei 2015.
Kontrak-kontrak ini telah dianugerahkan oleh Kontraktor PakejKerja yang mengendali pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang kepada para kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4.
Kontraktor-kontraktor yang berjaya telah dipilih dari kumpulan 257 kontraktor yang hadir di majlis undian ini. Mereka telah disenaraipendek terlebih dahulu.
Kontraktor Gred G1 layak untuk kontrak bernilai sehingga RM200,000 manakala mereka yang berada dalam Gred G2 layak untuk kontrak di antara RM200,001 dan RM500,000. Kontraktor Gred G3 pula layak untuk kontrak di antara RM500,001 dan RM1 juta manakala mereka dalam Gred G4 layak unutk kontrak di antara RM1,000,001 dan RM3 juta.
Gred-gred ini ditentukan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Mlaaysia (CIDB).
Majlis undian Kontraktor Bumiputera ini adalah yang keempat untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang, dan yang pertama di bawah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp baru, Dato’ Sri Shahril Mokhtar.
Semasa ucapannya di majlis undian, Shahril berkata dia gembira kerana tahap penyertaan Bumiputera untuk Projek MRT ini telah melebihi jangkauan sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan.
“Saya berasa sukacita kerana setakat ini, Projek MRT telah berjaya menganugerahkan 48% daripada jumlah nilai kontrak kepada syarikat Bumiputera. Ini melangkaui sasaran 43% yang ditetapkan oleh kerajaan”, beliau berkata.
Beliau menerangkan bahawa Agenda Bumiputera Projek MRT ini berjalan lancar dan selain syarikat kontraktor Bumiputera yang besar, kontraktor kecil juga mendapat manfaat daripada program ini.
Beliau berkata terdapat banyak kontraktor Bumiputera yang pada mulanya dianugerahkan kontrak untuk Projek MRT berlandaskan platform Agenda Bumiputera kini berjaya mendapat kontrak baru secara lanngsung daripada Kontraktor Pakej Kerja MRT.
“Ini adalah bukti di mana penyertaan di dalam Agenda Bumiputera Projek MRT membuka jalan untuk peluang lain di masa hadapan,” kata beliau.











