Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menyerahkan dua blok penggantian iaitu Blok Unit Kenderaan dan Blok Unit Kesihatan Awam secara rasminya kepada pengurusan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 21 Disember 2022, dalam sebuah majlis yang diadakan di Blok Unit Kesihatan Awam baharu, bersebelahan Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
Hadir di majlis penyerahan tersebut ialah Pengarah Pembinaan Laluan Putrajaya MRT Corp Encik Noor Saidi Muda, Pengarah HKL Datin Paduka Dr. Rohana Johan, dan Timbalan Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd Encik Amir Malik.
Sebelum kerja-kerja pembinaan Projek MRT Laluan Putrajaya bermula, tempat parkir kereta HKL dan pejabat Jabatan Kerja Raya berada di dalam kawasan kerja-kerja pembinaan ataupun right-of-way (ROW) Crossover HKL. Tempat parkir dan pejabat ini telah diambil alih buat sementara waktu di peringkat pembinaan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan MRT.
Usai pembinaan Crossover HKL, dua blok baharu tersebut telah dibina oleh Kontraktor Kerja Bawah Tanah Laluan Putrajaya MMC Gamuda KVRMT (T) Sdn Bhd berdasarkan keperluan HKL.
Kerja-kerja pembinaan bagi Blok Unit Kenderaan bermula pada Mei 2018, dan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) diterima pada 17 November 2021, manakala pembinaan Blok Unit Kesihatan Awam bermula pada Januari 2018 dan CCC telah diterima pada 7 Februari 2022.
Beberapa pemeriksaan tapak dan semakan dokumentasi penyerahan telah dilaksanakan oleh wakil-wakil Kementerian Kesihatan, HKL, MGKT dan MRT Corp. Berikutan pemeriksaan tersebut, kesemua ulasan penemuan daripada pemeriksaan tapak dan semakan dokumentasi telah diuruskan sewajarnya, dan diterima oleh pihak pengurusan HKL.
Blok Unit Kenderaan 6 tingkat tersebut menyediakan 649 ruang letak kereta dan 59 ruang motosikal, termasuk unit pengangkutan ambulans dan penyelenggaraan trak di tingkat bawah. 6 aras tempat parkir kereta telah diperuntukkan untuk kemudahan warga kerja HKL. Manakala Blok Unit Kesihatan Awam menempatkan bilik mesyuarat, bilik perbincangan, kawasan pesakit luar dan pelbagai kemudahan lain di dua tingkatnya.
Kedua-dua blok penggantian tersebut dibina untuk HKL sebagai sebahagian daripada iltizam MRT Corp dalam memajukan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.







