Webinar Pengurusan Risiko 2021 telah dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 2 Disember 2021, dengan matlamat untuk menggalakkan budaya kesedaran risiko di dalam organisasi dan memupuk pembelajaran daripada pakar-pakar risiko berpengalaman daripada pelbagai industri.
Dengan tema Hidup Melalui Fasa Endemik: Bagaimana Untuk Berdaya Tahan, webinar tersebut telah menghimpunkan panel penceramah pakar untuk sebuah perbincangan yang menarik tentang cara sesebuah syarikat boleh bersiap sedia, dan membina pendekatan daya tahan yang sistematik dalam endemik global, yang belum pernah terjadi sebelumnya akibat COVID-19.
Encik Azhar Sofah, Pemangku Ketua Piawaian dan Pematuhan MRT Corp telah menyampaikan ucapan alu-aluan pada permulaan webinar, yang menyaksikan kehadiran 150 orang peserta.
Webinar dimulakan dengan pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar, Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Unit Akreditasi AACSB, Kolej Perniagaan UUM. Beliau yang juga merupakan Profesor Madya di Kolej Perniagaan dan Felo Penyelidik Kanan di Institut Pengurusan Risiko UUM, telah membentangkan topik, Organisasi Mampan daripada Lensa Masyarakat yang Berdaya Tahan.
Penceramah kedua ialah Puan Sarazin Sheikh Mustafa, Pengarah Pengurusan Risiko dan Pematuhan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang telah membentangkan mengenai Pengurusan Risiko dalam Fasa Endemik.
Encik Mohd Nazlan Eza Mohd Jamzari Wasi, Ketua Pengurusan Kesinambungan Perniagaan di UMW Corporation, merupakan penceramah terakhir dan telah berkongsi pandangan dan pengalaman beliau dalam sebuah pembentangan bertopik Melihat Ke Belakang, Trend Semasa dan Melangkah Ke Hadapan.
Dalam sesi soal jawab bersama para penceramah, para peserta bersemangat tampil mengajukan beberapa soalan kepada mereka. Webinar tersebut juga telah menampilkan beberapa “Fun Quiz” yang menarik, untuk menguji pemahaman dan pengetahuan para peserta berkenaan topik yang dibentangkan. Sepuluh orang peserta dengan markah tertinggi telah membawa pulang baucar tunai F&B bernilai RM 50 setiap satu.
Webinar ini berakhir dengan pengumuman Anugerah Pengamal Risiko Terbaik di mana Jabatan Sistem Elektrikal & Mekanikal telah berjaya memenanginya. Encik Azhar telah mempersembahkan anugerah tersebut kepada wakil jabatan itu, Ir Shahir Azhan Mohamed Hamzah, yang menerima baucar F&B bernilai RM500.
Anugerah Pengamal Risiko Terbaik ditentukan berdasarkan kriteria berikut; (1) Melaksana, menyelenggara dan menyelaras aktiviti Pengurusan Risiko Operasi di Jabatan masing-masing;
(2) Memastikan sokongan untuk pengawasan pengurusan penyampaian sasaran risiko operasi dan bidang keputusan utama;
(3) Mewujudkan dan mengekalkan perkongsian pengurusan risiko;
(4) Memantau, menyemak dan menambah baik aktiviti dan proses pengurusan risiko secara berterusan dalam jabatan atau organisasi masing-masing dan
(5) Memastikan pelaksanaan aktiviti pengurusan risiko adalah selaras dengan rangka kerja pengurusan risiko MRT Corp yang telah ditetapkan.
MRT Corp akan terus memperkukuhkan amalan pengurusan risikonya untuk memastikan organisasi itu diperlengkapkan untuk menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan, terutamanya pada masa yang tidak menentu.







