Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Sri Dr. Shahidan Kassim telah berkunjung ke tapak Persilangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Stesen MRT HKL pada 4 Oktober 2021 untuk memeriksa kerja-kerja bawah tanah MRT Laluan Putrajaya (PY) .
Mereka memulakan lawatan kerja mereka di tapak Persilangan HKL, di mana Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim telah menyambut mereka dengan kata-kata aluan.
Sejurus selepas itu, para tetamu kehormat diberi taklimat mengenai kemajuan kerja-kerja sivil dan sistem Fasa Dua oleh Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya, Dato ’Amiruddin Ma’aris.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah.
Menyertai mereka dalam lawatan ini adalah ahli Lembaga Pengarah Prasarana Malaysia Berhad serta Pasukan Kepimpinan Kanan mereka, Ahli Lembaga Pengarah dan Pasukan Kepimpinan Kanan MRT Corp, dan juga wakil daripada MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, sebagai kontraktor siap pakai projek.
Sesudahnya taklimat, para tetamu telah turun ke terowong 20m ke bawah untuk memeriksa kemajuan kerja-kerja bawah tanah. Diketuai oleh Datuk Mohd Zarif dan Dato’ Amiruddin, rombongan tersebut telah bergerak dalam kumpulan kecil ketika mereka berjalan mengikut trek menuju ke stesen MRT HKL dalam memastikan kepatuhan terhadap SOP.
Semasa pemeriksaan, para menteri telah menyemak kesediaan persilangan, trek, sistem peralihan, stesen bawah tanah serta struktur dan kemudahan lain yang terletak di bawah Jalan Tun Razak.
Lawatan itu berakhir di Stesen MRT HKL di mana sebuah sidan media telah berlangsung.
Kedua-dua Menteri Pengangkutan dan Menteri Wilayah Persekutuan berpuas hati akan kemajuan Fasa Kedua Laluan PY, sambil menambah bahawa projek Laluan PY ini datang pada masa yang penting bagi negara ini, dalam usaha Kerajaan menghidupkan semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Bahagian bawah tanah tersebut adalah sebahagian daripada Fasa Dua MRT Laluan PY yang dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2023. Fasa Dua bermula dari Stesen Kentonment ke Stesen Putrajaya Sentral, dan kemajuan pembinaan fasa ini kini adalah pada 93.52%.















