Dua Bas Perantara MRT Laluan Putrajaya telah digerakkan untuk membawa ahli-ahli RC Deaf Missions Malaysia (RCDM) ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk vaksinasi Covid-19 mereka pada 23 Julai 2021.
Ini adalah aktiviti pertama dalam kolaborasi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bersama PPUM dalam Program Khidmat Vaksinasi. Program ini dijalankan untuk menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kerajaan (PICK).
Seramai 24 anggota RCDM telah menerima vaksin mereka. Sebahagian daripada mereka telah dijemput daripada Pusat RCDM di Kelana Jaya dan dibawa menaiki bas perantara MRT ke pusat vaksinasi satelit yang ditubuhkan di Kompleks Pendidikan Sains dan Kejururawatan di PPUM. Manakala sebahagian yang lain telah pergi sendiri ke pusat vaksinasi.
Setibanya di sana, mereka disambut oleh Timbalan Pengarah (Ikhtisas) PPUM Puan Chew Yee Yean dan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp Encik Leong Shen-Li.
Proses vaksinasi berjalan dengan lancar untuk semua anggota RCDM, dan mereka dibawa pulang ke Kelana Jaya menaiki bas yang sama.
MRT Corp berharap menerusi kerjasama bersama PPUM melalui Program Khidmat Vaksinasi, lebih ramai orang dapat menerima vaksin agar negara dapat kembali normal secepat mungkin.















