Sebuah majlis untuk menyampaikan sijil Kemampanan INFRASTAR 5 Bintang kepada Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah diadakan pada 12 April 2021 di Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh.
Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan bagi usaha yang dijalankan sepanjang projek MRT Laluan Putrajaya (PY) untuk memastikan ia adalah sebuah infrastruktur yang mampan. Memperolehi pensijilan Kemampanan INFRASTAR 5 Bintang memberi erti bahawa usaha-usaha dalam mengutamakan amalan kemampanan berterusan untuk semua peringkat projek telah diiktiraf.
Sijil itu disampaikan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid kepada Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Hadir pada majlis itu adalah wakil MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, kontraktor siap pakai Projek MRT Laluan PY, dan wakil kontraktor pakej kerja projek tersebut.
Kemampanan INFRASTAR merupakan sistem penilaian objektif dan berdasarkan bukti oleh CIDB yang menilai projek infrastruktur mengenai faktor-faktor utama kemampanan seperti perancangan dan pengurusan penggunaan tanah, pengurusan sumber, pengurusan tenaga dan air, biodiversiti dan perkhidmatan-perkhidmatan ekosistem yang lain, perlindungan sosial dan budaya dan koordinasi pihak berkepentingan.
Dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis itu, Pengarah Projek MRT Laluan PY Dato’ Amiruddin Ma’aris menyentuh bagaimana Projek Laluan PY melaksanakan amalan terbaik persekitaran dan sosial selaras dengan piawaian-piawaian di dalam negeri dan di seluruh dunia. Beliau meneruskan ucapan dengan memberikan anekdot yang menjelaskan tentang cabaran yang dihadapi dalam menguatkuasakan aspek kemampanan projek berdasarkan pengalaman beliau di lokasi.
Mengucapkan tahniah kepada MRT Corp atas pencapaian itu, Ahmad ‘Asri berkata beliau berbesar hati apabila semakin banyak pemain industri kini memandang serius akan langkah-langkah kelestarian, dan mula tampil untuk menilai projek mereka. Beliau berkata bahawa ini menandakan sebuah langkah ke hadapan dalam mewujudkan budaya yang lebih peka terhadap kelestarian dalam industri pembinaan.
Bahagian kedua majlis menyaksikan panyampaian hadiah untuk Program Pengiktirafan Pengamal Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE).
Para penerima adalah Encik Ahmad Azamuddin Azman dari Ahmad Zaki Resources Berhad yang memenangi Penyelia Keselamatan Tapak Terbaik, dan Encik Mohd Fitteri Shah Ngah Deman dari Mudajaya Corporation Bhd yang memenangi hadiah Pegawai Keselamatan & Kesihatan Terbaik. Terdapat dua pemenang hadiah saguhati bagi Pegawai Alam Sekitar – Encik Farid ‘Ismat Hussine dari MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd dan Puan Effa Norsyazwani Jaffar dari KKM-TRC Consortium.
Terdapat empat peringkat dalam proses penilaian untuk memilih pemenang, bermula dengan pencalonan pengamal oleh Kontraktor Siap Pakai Laluan PY. Calon tersebut kemudian dinilai dan disaring oleh warga kerja SHE MRT Corp, diikuti dengan sesi pembentangan dan temu ramah.













