PERSIDANGAN Pengurusan Alam Sekitar Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) 2018, telah diadakan di Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh pada 22 November 2018. Persidangan ini merupakan yang ketiga selepas edisi sulung pada 2016.
Dengan bertemakan ‘Kualiti Udara yang Baik Dengan MRT’, persidangan itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang pengurusan kualiti udara di tapak Projek MRT. Warga kerja dari MRT Corp, MMC Gamuda KVMRT (PDP) SSP Sdn Bhd, sebagai Rakan Pelaksana Projek dan Kontraktor Pakej Kerja telah dijemput untuk menghadiri persidangan tersebut.
Timbalan Pengarah Besar Jabatan Alam Sekitar Puan Norlin Jaafar merasmikan acara pada hari itu. Dalam ucapan pembukaan, beliau memuji MRT Corp di atas pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dalam memelihara alam sekitar terutamanya pengurangan penggunaan sisa plastik.
Pengarah Piawaian dan Pematuhan MRT Corp Encik Mohd Yusof Kasiron turut memberikan ucapan dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan yang berterusan dari pelbagai organisasi kerajaan dalam menjayakan Persidangan Alam Sekitar MRT Corp.
Encik Tan Poh Aun, seorang perunding dari SOx NOx Asia Sdn Bhd memulakan persidangan ini dengan memberikan ceramah tentang Kawalan Pencemaran Udara dan amalan pengurusan terbaik. Orang awam mempunyai persepsi negatif berkenaan tapak pembinaan, terutamanya isu habuk, maka beliau menekankan pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh pekerja pembinaan bagi mengekalkan kualiti udara yang baik. Tan juga membincangkan tentang Piawaian Kualiti Udara Sekitar Malaysia 2013. Dokumen ini menggariskan tindakan yang perlu diambil untuk mengelakkan kewujudan habuk yang tidak berkaitan melalui perancangan projek yang sesuai.
Seterusnya, Puan Farah Diyana Rusli, dari Jabatan Alam Sekitar Putrajaya, memberikan gambaran keseluruhan tentang Peraturan (Udara Bersih) Kualiti Alam Sekitar 2014. Beliau berkongsi tentang pelbagai keperluan peraturan dan pembaikan akta ini sejak versi terdahulu. Farah juga menekankan tentang kepentingan kerja-kerja pengisytiharan terutama apabila melibatkan peralatan bahan api dan kebakaran. Kerja-kerja ini perlu diisytiharkan kepada Jabatan Alam Sekitar sebelum bermulanya kerja-kerja supaya pihak berkuasa dapat memastikan kesemua proses yang akan dilakukan, berjalan lancar.
Satu kertas kerja penyelidikan bertajuk ‘Pemantauan Perubahan Iklim dan Manfaat Bersama Pengangkutan Aliran Massa’ turut disampaikan. Profesor Dr Jamal Hisham Hashim, Profesor Pelawat Kesihatan Persekitaran dari United Nations University-International Institute for Global Health, membincangkan tentang statistik bagaimana tren MRT membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon. Antara topik yang menarik yang telah berjaya menarik perhatian para hadirin adalah berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan di mana perkhidmatan MRT mampu mengelakkan 5 kadar kematian setahun akibat pembakaran udara. Ini adalah kerana perkhidmatan MRT akan mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalanraya. Malah, perkhidmatan MRT juga akan dapat mengehadkan tahap tekanan dan bebanan yang dihadapi oleh seseorang, sekaligus mengurangkan pelbagai penyakit.
Prestasi laporan audit berkenaan Projek MRT kemudiannya dikongsikan oleh Perunding Utama Europasia Engineering Services Sdn Bhd Cik Geetha Kumaran. Beliau memberikan statistik berdasarkan laporan audit terdahulu di tapak-tapak Projek MRT dan menekankan bahagian yang perlu diperbaiki di masa hadapan. Audit-audit ini dijalankan sekali setiap 4 bulan.
Penyampai terakhir ialah Encik Nasrum Zubir dari Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur. Beliau memberikan penjelasan tentang Akta Kualiti Alam Sekitar, 1974. Salah satu aspek yang telah ditekankan adalah keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar yang perlu dipatuhi oleh pemilik projek di tapak kerja. Contoh-contoh tapak Projek MRT juga ditunjukkan kepada para hadirin dan penambahbaikan serta cadangan turut diberikan.
Persidangan ini dianggap sebagai satu kejayaan kerana semua peserta berjaya memperolehi pengetahuan baru berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengekalkan persekitaran yang mampan.

















