MENTERI Kerja Raya yang baru sahaja dilantik Encik Baru Bian telah melawat bilik latihan Akademi Rel Pemodalan Maklumat Bangunan (BIRAC).
Tinjauan beliau ke pusat latihan tersebut telah berlangsung pada 5 Julai 2018 yang lepas, semasa beliau melawat Pusat Latihan myBIM yang terletak di Sunway Putra Tower Kuala Lumpur. Ini merupakan lawatan pertama beliau dalam siri lawatan ke agensi-agensi kerajaan.
Pusat Latihan BIRAC merupakan sebuah fasiliti yang dimiliki oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang kini berada di pusat myBIM. Ia akan bertindak sebagai pusat depositori bagi piawaian dan proses Pemodalan Maklumat Bangunan (BIM) Transit Aliran Massa Lembah Klang.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali yang mengiringi Baru ketika tinjauan pusat myBIM telah menerangkan tentang bagaimana teknologi BIM digunakan untuk mempertingkatkan kecekapan dalam dan di antara beberapa organisasi, membolehkan koordinasi yang lebih baik dalam melaksanakan sesebuah projek.
Turut membantu para hadirin ketika lawatan ini ialah Pengurus Besar eConstruct CIDB Malaysia Encik Mohammad Farid A. Hamid, yang telah menerangkan tentang latihan BIRAC yang diberikan di Pusat Latihan myBIM akan menghasilkan individu mahir dalam penggunaan BIM yang bukan sahaja mempertingkatkan kemahiran lakaran dan perancangan, malah meningkatkan kemahiran operasi dan penyelenggaraan apabila sesebuah projek itu siap.
Sebilangan kakitangan MRT Corp turut menjalani latihan di fasiliti BIRAC tersebut, kerana teknologi BIM memberikan kelebihan masa dan penjimatan belanjawan untuk projek pembinaan dan infrastuktur.
Sebagai sebahagian daripada Latihan Kerjasama Industri (ICP), MRT Corp dan Agensi Depositori Teknologi (TDA) telah mewajibkan keperluan latihan BIM untuk semua kontraktor pakej Kerja Bertingkat di Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), dengan aspirasi untuk memandu amalan dan piawaian industri, memberi tumpuan kepada proses yang sama untuk memajukan dan meningkatkan penciptaan maklumat dan aliran maklumat projek.
Inisiatif ini juga bertujuan untuk meningkatkan amalan dan proses projek terbaik melalui sesi kesedaran, forum, seminar yang disasarkan dan kumpulan kerja.
Pada akhir lawatan itu, Baru memuji usaha mereka di dalam industri yang giat untuk meningkatkan kemahiran mereka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka di pusat latihan ini.



