TIGA puluh empat pelajar dari University of Reading (kampus Malaysia) telah melawat Pusat Informasi MRT, Jalan Sultan Azlan Shah pada 13 Mac 2018.
Mereka adalah pelajar-pelajar jurusan Sarjana Muda Sains dalam pengkhususan Juruukur Bahan.
Lawatan ke pusat informasi ini merupakan lawatan sambil belajar ke Lembah Klang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) terutamanya berkenaan teknologi kejuruteraan digital yang digunakan dalam projek ini.
Pengurus Kanan Perancangan dan Reka Bentuk Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Aswadi Yusof telah menyampaikan taklimat kepada para pelajar.
Beliau memulakan taklimat dengan memberitahu kemajuan projek terkini berada pada 22%. Ini adalah sejajar dengan sasaran projek iaitu fasa pertama laluan akan beroperasi pada Suku Kedua 2021 manakala keseluruhan operasi pada Suku Kedua 2022.
Aswadi kemudiannya menghuraikan peranan yang dimainkan oleh kejuruteraan digital bagi Laluan SSP.
Memandangkan Projek MRT merupakan projek infrastruktur mega di negara ini, antara cabaran yang dilalui oleh projek ini adalah kerumitan mereka bentuk stesen. Oleh sebab itu, teknologi digital perlu digunakan.
Projek ini menggunakan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) untuk reka bentuk dan pembinaan Laluan SSP. BIM merupakan proses mencipta dan menguruskan maklumat pembinaan projek sepanjang kitaran hidup projek itu di dalam persekitaran maya. Ia membolehkan pengguna untuk menggambarkan, menggabungkan dan menganalisa setiap aspek dalam reka bentuk kejuruteraan.
Selain itu, Laluan SSP juga menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS). GIS merupakan satu alat pemetaan terkini yang direka bentuk untuk memapar, menyimpan, memanipulasi, menganalisa dan membentangkan semua jenis data geografi. Ia membolehkan data dari semua bahagian disatukan dari segi akses kepada maklumat dan dibentangkan dalam satu peta interaktif.
Sebuah kajian kes mengenai penggabungan teknologi BIM dan GIS di dalam Laluan SSP telah dikongsikan iaitu pembinaan Stesen MRT Titiwangsa. Sebelum memulakan pembinaan, jurutera dapat membuat kajian untuk pembinaan stesen dan juga memahami bahan-bahan berlainan yang perlu digunakan.
Lawatan ini diakhiri dengan makan tengah hari untuk para pelajar.











