Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan orang awam untuk melawat hab MRT serta menambahkan keterlihatan hab ini. Hab informasi ini disediakan untuk orang awam mengambil tahu MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dengan lebih lanjut.
Bermula daripada 15 Januari 2018 hingga 25 Januari 2018, kempen ini diadakan di semua hab informasi MRT iaitu Pusat Informasi MRT yang terletak di Jalan Sultan Azlan Shah dan Seri Kembangan, Kios Informasi MRT yang terletak di Stesen MRT Bukit Bintang dan Trak Informasi MRT (MIT).
MIT merupakan trak informasi yang bergerak sepanjang jajaran MRT Laluan SSP dan lokasinya berubah setiap hari. Informasi langsung lokasi MIT boleh didapati di laman web MRT Corp.
Sepanjang kempen ini dijalankan, pengunjung hab informasi berpeluang memenangi kalendar dan buku catatan MRT 2018 jika menjawab kuiz dengan tepat.
Kuiz ini mengandungi lima soalan berkenaan MRT Laluan SSP. Jawapan kepada kuiz ini boleh didapati di sekitar hab seperti papan informasi, surat berita MRT dan risalah informasi projek Laluan SSP.
“Ia adalah merupakan satu inisiatif yang bagus oleh MRT Corp untuk meningkatkan kesedaran dalam mempromosikan Laluan SSP. Saya tidak sabar menunggu operasi penuh pada 2022 kerana saya percaya perkhidmatan ini akan terbukti bermanfaat kepada lebih ramai pengguna ditambah dengan mereka yang sudah menggunakan laluan pertama MRT,” kata Encik Mohd Aiman, salah seorang pemenang kempen tersebut.







