Dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd telah menganjurkan Program Ikrar Bebas – Rasuah pada 6 Oktober 2017 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE.
Majlis dimulakan dengan ceramah eksekutif oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Dato’ Sri Hj Azam Baki yang berkongsi tentang isu rasuah yang berlaku di sektor awam dan swasta di Malaysia.
Ketibaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad bersama Ahli Lembaga Pengarah MRT Corp, diiringi oleh lagu Negaraku dan diikuti dengan bacaan doa.
Turut hadir termasuklah Barisan Kepimpinan MRT Corp dan seluruh warga kerja MRT Corp.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar telah menyampaikan ucapan pembukaan untuk mengalu-alukan para hadirin yang hadir ke majlis tersebut.
Beliau menyatakan bahawa ia merupakan tanggungjawab syarikat untuk membimbing, memberi nasihat dan mengingatkan semua warga kerja MRT Corp untuk tidak terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan untuk mengelakkan imej negatif kepada syarikat.
Tan Sri Dzulkifli kemudiannya mengambil alih pentas menyampaikan ucapan beliau.
Beliau menyatakan bahawa ikrar tersebut merupakan satu inisiatif yang dimulakan oleh SPRM untuk membendung masalah rasuah yang berlaku di Malaysia.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada MRT Corp di atas pelaksanaan inisiatif-inisiatif anti rasuah syarikat.
Sebagai bukti komitmen MRT Corp untuk membanteras rasuah, warga kerja dan Ahli Lembaga Pengarah diketuai oleh Shahril melafazkan ikrar antara lain, untuk menolak segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan tidak terlibat di dalam sebarang tindakan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam apa-apa urusan berkaitan MRT Corp.
Mereka juga melafazkan ikrar untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi mengelakkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Penandatanganan ikrar menyusul bermula dengan Ahli Lembaga Pengarahdan diikuti oleh Barisan Kepimpinan. Kedua-duanya disaksikan oleh Dzulkifli dan Azam.
Sebanyak 537 borang pendaftaran telah diserahkan oleh MRT Corp kepada SPRM.
Borang tersebut yang telah diisi oleh warga kerja MRT Corp adalah untuk Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) SPRM yang menjadi pemangkin kepada perubahan dalam masyarakat untuk menolak dan membenci rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Majlis diakhiri dengan minum petang yang telah disediakan untuk para hadirin.

















