PERDANA Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak telah melawat tapak pembinaan Projek MRT di Stesen Tun Razak Exchange (TRX) pada hari Selasa, 3 Mac 2015. Lawatan ini merupakan lawatan yang ketiga oleh Perdana Menteri. Minat Perdana Menteri terhadap Projek MRT mempamerkan komitmen beliau dalam memastikan Projek tersebut berada di tahap kemajuan yang dikehendaki untuk membolehkannya beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2017.
Perdana Menteri tiba di Stesen TRX pada 4.40pm dan disambut oleh Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Shahril Mokhtar. Beliau dibawa ke dek pemerhatian di mana beliau telah dapat menyaksikan keseluruhan kerja pembinaan stesen. Stesen TRX merupakan stesen bawah tanah yang paling besar dan paling dalam antara tujuh stesen bawah tanah laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
Setelah itu, Perdana Menteri telah dibawa turun ke aras platform bawah stesen di mana beliau melihat terowong yang telah disiapkan untuk keretapi menghala ke Sungai Buloh kelak. Beliau juga dibawa melihat papak landasan dan kawasan platform yang telah dibina untuk MRT Laluan 2 yang akan datang. Sepanjang lawatan tersebut, beliau diberi penerangan oleh Pengarah Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, Encik Marcus Karakashian.
Juga hadir pada lawatan tersebut adalah Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Ahmad Maslan, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Adnan Md Ikhsan. Kontraktor Kerja Bawah Tanah Projek MRT, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad Dato’ Lin Yun Ling, Pengerusi MMC Corporation Berhad Tan Sri Dato’ Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh. Pihak media juga hadir untuk membuat liputan lawatan tersebut.
Shahril menyatakan bahawa beliau menganggap keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh Perdana Menteri terhadap Projek MRT sebagai penghargaan yang amat bermakna. “Ini menjadi faktor yang mendorong pelbagai pihak untuk menumpukan usaha mereka dalam memastikan projek ini siap dalam masa dan kos yang telah ditetapkan” tambah Shahril. Lawatan pertama Perdana Menteri merupakan lawatan mengejut ke tapak yang pada masa itu dinamakan Syaf Pelancaran Cochrane pada 3 Januari 2013.
Dalam lawatan keduanya ke tapak yang sama pada 30 Mei 2013, beliau telah merasmikan permulaan kerja mengorek terowong bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang. Sehingga Januari 2015, tahap kemajuan projek secara keseluruhan bagi Kerja Bawah Tanah adalah 75%, manakala tahap kemajuan kerja mengorek terowong adalah 95%.
Kerja mengorek terowong bagi keseluruhan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dijangka siap pada minggu pertama April 2015.







