TIMBALAN Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani telah mengadakan lawatan pertama beliau ke Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) pada 4 November 2015.
Lawatan tersebut menunjukkan sokongan dan komitmen beliau terhadap Projek MRT Lembah Klang. Lawatan ini juga membolehkan beliau mengikuti kemajuan pembinaan projek Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).
MRT Corp merupakan pemaju dan pemilik aset Projek MRT Lembah Klang yang dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Projek MRT Lembah Klang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan.
Ketibaan beliau di ibu pejabat korporat syarikat disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar, Pengarah Projek Laluan SBK Encik Marcus Karakashian dan Pengarah Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya Laluan SSP Dato’ Amiruddin Ma’aris.
Karakashian memberi taklimat kepada Timbalan Menteri Kewangan mengenai kemajuan semasa pembinaan Laluan SBK. Pada 31 Oktober 2015, pembinaan Laluan SBK adalah 74.14% siap.
Johari juga dimaklumkan bahawa Operasi Fasa Pertama antara Stesen Sungai Buloh dan Semantan adalah menepati jadual program iaitu pada akhir 2016, diikuti keseluruhan laluan pada Julai 2017.
Amiruddin kemudiannya mengemukakan maklumat mengenai Laluan SSP yang diberi kelulusan muktamad oleh Kerajaan pada Oktober 2015.
Beliau turut berkongsi hasil daripada Pemeriksaan Awam yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Pemeriksaan Awam yang telah dijalankan antara 15 Mei 2015 dan 17 Ogos 2015 telah menerima lebih daripada 10,000 maklum balas yang dikemukakan oleh orang ramai.
Amiruddin juga menunjukkan Johari kawasan “titik panas” ataupun hotpots di sepanjang laluan di mana MRT Corp menjangkakan isu-isu yang akan dibangkitkan oleh pihak-pihak berkepentingan berkenaan dengan projek.
Salah satu titik panas adalah Pusat Membeli Belah Ampang Park di mana MRT Corp terlibat dalam perbincangan dengan pemilik-pemiliknya untuk mendapatkan perjanjian bersama bagi membolehkan terowong MRT dan laluan pejalan kaki bawah tanah dibina di bawah bangunan tersebut.
Isu-isu berkaitan pusat membeli-belah ini menarik minat Johari kerana ia berada di dalam kawasan Parlimen Titiwangsa di mana beliau merupakan Ahli Parlimen.
Sebelum lawatan itu berakhir, Johari telah dibawa ke Galeri MRT di mana beliau telah dapat melihat model berskala stesen, jejambat, tren dan kemudahan tempat letak kereta. Beliau juga sempat mencuba kerusi tren MRT pada replika seksyen gerabak tren bersaiz sebenar di galeri itu.





