IA menjadi tarikh yang akan diingati bagi Cik Ng Zhi Wei, 19, apabila menjadi penumpang kesejuta menggunakan perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT). Ng telah mencapainya pada pukul 10.13 pagi pada 11 Januari 2017 – 27 hari selepas pembukaan perkhidmatan Fasa Pertama antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Semantan pada 16 Disember 2016.
Tanpa menyedari situasi ini, beliau telah menggunakan Touch N Go di Stesen Sungai Buloh untuk memulakan perjalanan ke SEGI College, di mana beliau sedang melanjutkan pelajaran di dalam bidang sarjana muda perdagangan.
Beliau mendapat kejutan manis apabila disambut oleh Pengarah Pengurusan Tanah dan Perdagangan MRT Corp Dato’ Haris Fadzilah Hassan bersama Ketua Pengarah Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Dato’ Zohari Sulaiman.
Sejurus selepas pintu tambang dibuka, Haris dan Zohari telah menghampiri Ng dan memaklumkan kepada Ng bahawa beliau merupakan penumpang kesejuta yang menggunakan perkhidmatan MRT.
Beliau telah menerima beberapa cenderahati dari MRT Corp dan Prasarana Malaysia Berhad termasuk sebuah Apple iPad yang terbaru.
“Saya sangat terperanjat; tetapi amat gembira. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Rapid Rail dan MRT Corp untuk hadiah-hadiah ini. Saya sangat gembira dengan perkhidmatan MRT. Sebelum ini, ibu yang menghantar dan mengambil saya dari kolej. Sekarang hanya perlu gunakan MRT dari Sungai Buloh ke Kota Damansara, “ kata Ng.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi MRT Rapid Rail Sdn Bhd Encik Muhammad Isom Azis dan Pengarah Projek MRT Corp Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) Encik Marcus Karakashian.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Naijb Tun Abdul Razak pada 15 Disember 2016, fasa pertama Laluan SBK telah memulakan operasi pada hari selepasnya bersama perkhidmatan percuma bagi promosi satu bulan untuk perkhidmatan keretapi dan bas perantara. Para pengguna hanya akan mula membayar untuk perkhidmatan ini bermula dari 17 Januari 2017.
Dengan sejumlah sejuta penumpang menggunakan perkhidmatan setakat ini, purata harian Laluan SBK adalah 40,000 penumpang.
Perkhidmatan mendapat sambutan paling baik pada hujung minggu di mana penumpang beramai-ramai mencuba perkhidmatan ini. Bilangan penumpang tertinggi yang diraih adalah sebanyak 67,000 penumpang pada Hari Krismas.
Stesen-stesen yang paling sibuk ialah Mutiara Damansara, Sungai Buloh, Bandar Utama, Kwasa Sentral dan Semantan.







