SEMPENA Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac 2017, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah menganjurkan sebuah sesi ramah mesra bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Berlangsung di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara pada 7 Mac 2017, sesi ini bertajuk ‘Choosing LPT As A Career: Meet The Women Who Move Your World.’ Beliau telah membincangkan pelbagai topik antaranya ialah penglibatan lebih ramai wanita dalam industri pengangkutan awam.
Antara yang hadir termasuklah para wanita dari Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Keretapi Tanah Melayu Berhad, SPAD, KLIA Ekspres (ERL) dan Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Nancy turut juga disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ERL Puan Noormah Noor dan Ketua Jabatan Rel dan Infrastruktur Projek Prasarana YB Datin Hajah Norlia Noah.
Sesi ini telah dikendalikan oleh penyampai Selamat Pagi Malaysia RTM 1, Cik Tasneem Faisal.
Nancy berkata kepada para hadirin yang terdiri daripada wanita sahaja bahawa, “wanita tidak sepatutnya bersaing dengan lelaki, sebaliknya mempertingkatkan kemampuan kita.” Kenyataan ini merujuk kepada peningkatan jumlah wanita yang bekerja dengan organisasi Pengangkutan Awam Darat.
Sesi ini diakhiri dengan para hadirin menaiki keretapi MRT dan mengambil perjalanan pulang dari Stesen Pusat Bandar Damansara ke Stesen Mutiara Damansara.







