SEMPENA sesi perkongsian ilmu antara Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan Unit Pelaksanaan dari Arab Saudi, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyambut para delegasi ke Projek MRT pada 18 April 2017.
Seramai tujuh orang delegasi yang terdiri daripada individu dari Unit Pelaksanaan Arab Saudi dan Pengarah PricewaterhouseCoopers (PwC) dari kedua-dua bahagian Timur Tengah dan Malaysia berpeluang bertemu Pengarah Projek Laluan SBK Encik Marcus Karakashian di Pusat Kawalan Operasi Bangunan Pentadbiran MRT.
Mereka kemudiannya meneruskan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi. Marcus menerangkan kepada para delegasi tentang peranan MRT Corp dan Rapid Rail Sdn Bhd berkenaan Laluan SBK.
Depoh keretapi MRT merupakan depoh yang terbesar di Asia Tenggara dan kemudahan seperti kawasan bangsal stok keretapi turut ditunjukkan kepada para delegasi.
Mereka kemudiannya menaiki bas perantara MRT dari Pusat Kawalan Operasi ke Stesen MRT Sungai Buloh. Sebaik tiba di stesen, Marcus menerangkan kepada para delegasi tentang integrasi yang wujud antara perkhidmatan MRT dan KTM. Ruang legar telah dibina untuk perjalanan yang lancar dan mudah di antara kedua-dua perkhidmatan.
Lawatan itu diakhiri dengan perjalanan menaiki keretapi ke Stesen Semantan dan para delegasi telah memaksimumkan peluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai projek itu.









