RAPID Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), operator Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK), telah menganjurkan satu sesi latihamal kecemasan di dalam terowong MRT berhampiran dengan Stesen Tun Razak Exchange pada 25 Mei 2017 berikutan pembukaan fasa kedua laluan yang dijangka dalam masa dua minggu.
Selain staf Rapid Rail, warga kerja lain dari Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Rakan Pelaksana Projek MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, juga terlibat dengan sesi itu. Pelbagai perkhidmatan tindakan kecemasan seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis dan Hospital Kuala Lumpur dan Sungai Buloh turut menyertai sesi latihamal ini.
Latihamal ini, adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Kecemasan dan merupakan satu keperluan mandatori yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum satu lesen operasi dikeluarkan untuk landasan kereta api.
Latihamal ini melibatkan satu simulasi di mana sebuah kereta api MRT yang menghala ke arah Stesen Cochrane dari TRX dan secara tiba-tiba, kereta api itu telah tergelincir. Api mula marak di landasan kereta api.
Kira-kira 400 penumpang, terdiri daripada ahli sukarelawan dari MRT Corp, MMC Gamuda dan Prasarana Malaysia Bhd terpaksa dipindahkan daripada kereta api. Mereka telah dibawa ke laluan kecemasan dan kembali ke Stesen TRX.
Beberapa orang penumpang telah “tercedera” dan juga dua “maut” di tempat kejadian. Mereka yang “tercedera” dan “mayat” telah dibawa keluar oleh warga kerja Pasukan Bomba dan Penyelamat ke Syaf Kecemasan 3, yang terletak di Bulatan Kampung Pandan. Syaf ini dibina untuk pemindahan kecemasan.
Mangsa yang tercedera telah segera dirawat oleh warga kerja hospital manakala mereka yang memerlukan rawatan segera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menaiki ambulans.
Latihamal ini dianggap berjaya dengan semua pihak telah menjalankan peranan masing-masing mengikut pelan tindakan kecemasan.











